Tuesday 21 March 2023

Program Sinergi Mega (Hari Kedua)

Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk semua warga SKTPP.

Alhamdulillah, hari ini merupakan hari ke-2 Program Sinergi Mega berlangsung. Pelbagai aktiviti telah dirancang bagi menambahkan rasa seronok dan gembira anak-anak murid untuk hadir ke sekolah. Aktiviti yang dirancang dalam Program Sinergi Mega ini adalah sama bagi sesi pagi, sesi petang, PPKI dan Prasekolah.

Antara aktiviti yang dirancang pada hari kedua adalah seperti Ceramah Sinergi Mega, Permainan Minda, Sorak dan Tari serta permainan Sukan Rakyat.

Penerangan Aktiviti hari ke-2

Ceramah Sinergi Mega

Ceramah pada sesi pagi disampaikan oleh Encik Mohamad Samri bin Othman.

Sedikit maklumat mengenai Encik Mohamad Samiri. Beliau berasal daripada Gemas, Negeri Sembilan. Beliau berkelulusan Syariah Undang-Undang, Universiti Malaya dan berpengalaman mengendalikan ceramah dan kem motivasi pembinaan diri selama 10 tahun. Ceramah yang disampaikan oleh beliau banyak memberi semangat kepada murid-murid bagi menempuh cabaran pada masa mendatang.

Permainan Minda

Permainan Minda ini diuruskan oleh Panitia Matematik. Permainan minda ini menggalakkan murid berinteraksi secara positif serta menimbulkan keseronokan dan gurauan sesama rakan. Selain itu, ia melatih murid menggunakan kemahiran psikomotor dengan melukis petak dan nombor.

Sorak dan Tari

Tujuan aktiviti dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kesediaan dan kepekaan sebelum proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Ia juga dapat meningkatkan semangat untuk belajar dan memupuk kemesraan dan membina sikap kerjasama dalam satu kumpulan.

Sukan Rakyat

Permainan sukan rakyat ini dimainkan oleh murid-murid di dalam kelas. Murid-murid telah diingatkan untuk membawa alat permainan seperti congkak, batu seremban dan lain-lain permainan yang boleh dimainkan di dalam kelas. Aktiviti ini baik bagi memupuk sikap ambil tahu dan mengetahui sukan rakyat yang dimainkan pada masa lalu serta mempraktikkan permainan pada masa kini supaya sukan rakyat tidak terkubur begitu sahaja.

 Aktiviti hari ke-2 Program Sinergi Mega:

 Sesi Pagi

Pada pagi ini aktiviti dimulakan dengan taklimat ringkas yang disampaikan oleh Cikgu Juli binti Mahbah di Dataran. Setelah selesai taklimat, acara Jom Berzumba (senamerobik) bermula. Aktiviti senamerobik ini diketuai oleh Cikgu Noor Hayati binti Yusuf dan Cikgu Ahmad Tirmizie. Murid-murid kelihatan begitu teruja dan bersemangat untuk bersenam pada pagi ini. Tidak kurang juga guru-guru dan ibu bapa yang hadir turut sama bersenam bagi memeriahkan lagi suasana.

Setelah selesai acara senamerobik 'Jom Berzumba', murid-murid dibahagikan kepada dua sesi. Sesi pertama; Tahun 4, Tahun 5, PPKI dan Prasekolah telah berkumpul di Dewan Perdana bagi mendengar Ceramah Sinergi Mega. Ceramah ini disampaikan oleh Encik Mohamad Samri bin Othman. Manakala murid Tahun 6 pula berada di kelas bagi melaksanakan aktiviti seterusnya iaitu Permainan Minda, Sorak Tari dan Sukan Rakyat.

Selesai rehat, murid Tahun 4, Tahun 5, PPKI dan Prasekolah ke kelas masing-masing untuk melaksanakan aktiviti seterusnya iaitu Permainan Minda, Sorak Tari dan Sukan Rakyat. Seterusnya murid-murid Tahun 6 pula berkumpul di Dewan Perdana bagi mendengar Ceramah Sinergi Mega.

Berikut merupakan gambar-gambar sepanjang Program Sinergi Mega yang berlangsung pada hari ke-2 bagi sesi pagi, PPKI dan Prasekolah:




Guru Besar SKTPP memberi cenderamata kepada penceramah 
Encik Mohamad Samri bin Othman



PPKI

PRASEKOLAH

Sesi Petang

Acara dimulakan dengan taklimat ringkas yang disampaikan oleh Cikgu Nor Arzah binti Husin di Dataran. Kemudian murid-murid Tahun 2, 3 dan Prasekolah berkumpul di Dewan Perdana bagi mendengar Ceramah Sinergi Mega yang disampaikan oleh Encik Mohamad Samri bin Othman.

Setelah selesai, murid-murid beredar ke kelas masing-masing bagi melaksanakan aktiviti seterusnya di bilik darjah iaitu Permainan Minda dan Sorak Tari.

Acara terakhir pada petang ini ialah Jom Berzumba (senamerobik) yang diketuai oleh Cikgu Nor Malisha binti Omar. Murid-murid kelihatan sangat teruja dan penuh bersemangat bersenam pada petang ini. Guru-guru berzumba dengan penuh semangat demi memeriahkan lagi suasana.

Berikut merupakan gambar-gambar sepanjang Program Sinergi Mega yang berlangsung pada hari ke-2 bagi sesi petang:







Terima kasih di atas kerjasama semua guru terutama guru-guru yang banyak memberi kerjasama dalam memastikan program ini berjalan lancar. Semoga murid-murid gembira dan seronok hadir ke sekolah.


Disediakan oleh,

Norbaizura binti Nordin

No comments:

Post a Comment