Tuesday, 21 March 2023

Program Sinergi Mega (Hari Kedua)

Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk semua warga SKTPP.

Alhamdulillah, hari ini merupakan hari ke-2 Program Sinergi Mega berlangsung. Pelbagai aktiviti telah dirancang bagi menambahkan rasa seronok dan gembira anak-anak murid untuk hadir ke sekolah. Aktiviti yang dirancang dalam Program Sinergi Mega ini adalah sama bagi sesi pagi, sesi petang, PPKI dan Prasekolah.

Antara aktiviti yang dirancang pada hari kedua adalah seperti Ceramah Sinergi Mega, Permainan Minda, Sorak dan Tari serta permainan Sukan Rakyat.

Penerangan Aktiviti hari ke-2

Ceramah Sinergi Mega

Ceramah pada sesi pagi disampaikan oleh Encik Mohamad Samri bin Othman.

Sedikit maklumat mengenai Encik Mohamad Samiri. Beliau berasal daripada Gemas, Negeri Sembilan. Beliau berkelulusan Syariah Undang-Undang, Universiti Malaya dan berpengalaman mengendalikan ceramah dan kem motivasi pembinaan diri selama 10 tahun. Ceramah yang disampaikan oleh beliau banyak memberi semangat kepada murid-murid bagi menempuh cabaran pada masa mendatang.

Permainan Minda

Permainan Minda ini diuruskan oleh Panitia Matematik. Permainan minda ini menggalakkan murid berinteraksi secara positif serta menimbulkan keseronokan dan gurauan sesama rakan. Selain itu, ia melatih murid menggunakan kemahiran psikomotor dengan melukis petak dan nombor.

Sorak dan Tari

Tujuan aktiviti dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kesediaan dan kepekaan sebelum proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Ia juga dapat meningkatkan semangat untuk belajar dan memupuk kemesraan dan membina sikap kerjasama dalam satu kumpulan.

Sukan Rakyat

Permainan sukan rakyat ini dimainkan oleh murid-murid di dalam kelas. Murid-murid telah diingatkan untuk membawa alat permainan seperti congkak, batu seremban dan lain-lain permainan yang boleh dimainkan di dalam kelas. Aktiviti ini baik bagi memupuk sikap ambil tahu dan mengetahui sukan rakyat yang dimainkan pada masa lalu serta mempraktikkan permainan pada masa kini supaya sukan rakyat tidak terkubur begitu sahaja.

 Aktiviti hari ke-2 Program Sinergi Mega:

 Sesi Pagi

Pada pagi ini aktiviti dimulakan dengan taklimat ringkas yang disampaikan oleh Cikgu Juli binti Mahbah di Dataran. Setelah selesai taklimat, acara Jom Berzumba (senamerobik) bermula. Aktiviti senamerobik ini diketuai oleh Cikgu Noor Hayati binti Yusuf dan Cikgu Ahmad Tirmizie. Murid-murid kelihatan begitu teruja dan bersemangat untuk bersenam pada pagi ini. Tidak kurang juga guru-guru dan ibu bapa yang hadir turut sama bersenam bagi memeriahkan lagi suasana.

Setelah selesai acara senamerobik 'Jom Berzumba', murid-murid dibahagikan kepada dua sesi. Sesi pertama; Tahun 4, Tahun 5, PPKI dan Prasekolah telah berkumpul di Dewan Perdana bagi mendengar Ceramah Sinergi Mega. Ceramah ini disampaikan oleh Encik Mohamad Samri bin Othman. Manakala murid Tahun 6 pula berada di kelas bagi melaksanakan aktiviti seterusnya iaitu Permainan Minda, Sorak Tari dan Sukan Rakyat.

Selesai rehat, murid Tahun 4, Tahun 5, PPKI dan Prasekolah ke kelas masing-masing untuk melaksanakan aktiviti seterusnya iaitu Permainan Minda, Sorak Tari dan Sukan Rakyat. Seterusnya murid-murid Tahun 6 pula berkumpul di Dewan Perdana bagi mendengar Ceramah Sinergi Mega.

Berikut merupakan gambar-gambar sepanjang Program Sinergi Mega yang berlangsung pada hari ke-2 bagi sesi pagi, PPKI dan Prasekolah:




Guru Besar SKTPP memberi cenderamata kepada penceramah 
Encik Mohamad Samri bin Othman



PPKI

PRASEKOLAH

Sesi Petang

Acara dimulakan dengan taklimat ringkas yang disampaikan oleh Cikgu Nor Arzah binti Husin di Dataran. Kemudian murid-murid Tahun 2, 3 dan Prasekolah berkumpul di Dewan Perdana bagi mendengar Ceramah Sinergi Mega yang disampaikan oleh Encik Mohamad Samri bin Othman.

Setelah selesai, murid-murid beredar ke kelas masing-masing bagi melaksanakan aktiviti seterusnya di bilik darjah iaitu Permainan Minda dan Sorak Tari.

Acara terakhir pada petang ini ialah Jom Berzumba (senamerobik) yang diketuai oleh Cikgu Nor Malisha binti Omar. Murid-murid kelihatan sangat teruja dan penuh bersemangat bersenam pada petang ini. Guru-guru berzumba dengan penuh semangat demi memeriahkan lagi suasana.

Berikut merupakan gambar-gambar sepanjang Program Sinergi Mega yang berlangsung pada hari ke-2 bagi sesi petang:







Terima kasih di atas kerjasama semua guru terutama guru-guru yang banyak memberi kerjasama dalam memastikan program ini berjalan lancar. Semoga murid-murid gembira dan seronok hadir ke sekolah.


Disediakan oleh,

Norbaizura binti Nordin

Monday, 20 March 2023

Program Sinergi Mega (Hari Pertama)

Bermula sesi persekolahan tahun 2023, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas agar minggu pertama sesi persekolahan berjalan dalam suasana ceria, mesra dan selamat. Sehubungan dengan itu, satu kerjasama yang padu antara Unit Bimbingan & Kaunseling, Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG), PPKI, Panitia Matematik, Panitia Bahasa Melayu, Panitia Bahasa Inggeris, Panitia Muzik, Panitia Pendidikan Jasmani dan Panitia Pendidikan Islam SK Taman Putra Perdana (SKTPP) telah mencetuskan satu program yang dinamakan "Sinergi Mega" untuk dilaksanakan pada minggu pertama sesi persekolahan tahun 2023 di SKTPP.

Berdasarkan Surat Pekeliling KPM tersebut, pengurusan pembukaan sekolah KPM bagi setiap sesi akademik sewajarnya berjalan dalam suasana ceria, mesra dan selamat. Perkara ini selaras dengan hasrat KPM untuk melahirkan Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) dan sekali gus mewujudkan suasana "Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera". Minggu pertama persekolahan seharusnya dimanfaatkan dengan pelaksanaan program / aktiviti menyeronokkan yang dapat menyokong murid dan guru bersedia sepenuhnya dari aspek sosioemosi dan mental untuk melaksanakan proses pendidikan formal.

Bagi memenuhi hasrat KPM tersebut berbagai aktiviti telah dirancang dan dijalankan di SKTPP.

Banner Program disediakan oleh Cikgu Mohd Rusydan

Buku Program Sinergi Mega disediakan oleh Cikgu Hanifah

    Untuk melihat isi kandungan buku program boleh klik pautan di

    👉https://online.anyflip.com/lhjgd/dtov/mobile/index.html

Berikut merupakan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan pada hari pertama persekolahan di sesi pagi

Selepas perhimpunan mingguan, telah diadakan majlis perasmian program Sinergi Mega oleh Pn Hajjah Rohaidah Mohd Ali, Guru Besar SKTPP. Yang Dipertua PIBG, Tn Haji Khairul Azhar juga turut mengambil kesempatan menyampaikan ucapan kepada murid-murid serta ibu bapa yang hadir ke sekolah pada pagi ini.

Acara gimik pelancaran program yang diusahakan oleh Cikgu Wan Faizol, Cikgu Syahirah dan Ustazah Mawaddah


Pada pagi ini juga telah diadakan aktiviti "Serlahkan Potensimu". Murid-murid diberi peluang menyerlahkan bakat masing-masing seperti nyanyian, bersajak dan berpantun.

Bagi murid-murid yang mempunyai bakat bermain alat muzik juga telah diberi peluang untuk menunjukkan bakat masing-masing



Murid-murid SKTPP juga ada yang berbakat dalam bilang Silat

Murid PKKI juga tidak ketinggalan untuk menyerlahkan bakat yang ada

Guru-guru turut serta mengambil bahagian dalam aktiviti "Serlahkan Potensimu"

Aktiviti sesi perkenalan dan bergambar murid-murid dengan guru-guru PPKI

Keceriaan tergambar di wajah guru-guru sesi pagi hari ini

Seterusnya adalah aktiviti Program Senergi Mega di sesi petang pula

Program Senergi Mega untuk sesi petang juga dimulakan selepas selesai perhimpunan mingguan. Ustazah Rafini selaku pengerusi majlis memulakan majlis perasmian dengan ucapan aluan dan seterusnya bacaan doa oleh ustaz Abdul Hafiz.

Seterusnya giliran Cikgu Nor Arzah selaku Penolong Penyelaras Program menyampaikan taklimat berkaitan program Sinergi Mega yang akan dijalankan selama seminggu. Penolong Kanan Petang, Cikgu Naga turut mengambil peluang menyampaikan ucapan kepada murid-murid, guru-guru serta ibu bapa yang hadir. 

Tidak ketinggalan, YDP PIBG Tn Haji Khairul Azhar turut menyampaikan ucapan kepada semua murid-murid dan ibu bapa di sesi petang pula. Perasmian Program Sinergi Mega di sesi petang telah disempurnakan oleh Pn Hajjah Rohaidah, Guru Besar SKTPP.

Murid-murid Prasekolah turut sama berada di Dewan Perdana semasa majlis perasmian program berlangsung

Suasana majlis perasmian program di sesi petang yang meriah dengan kehadiran ibu bapa murid-murid tahun satu 

Idea gimik perasmian program sesi petang oleh Ustaz Mohd Hadri yang terkenal sebagai "Ustaz Magic" dibantu oleh Ustazah Hastipa

Video acara gimik pelancaran program di sesi petang

Selesai acara gimik, aktiviti diteruskan dengan acara "Serlahkan Potensimu". Hanya murid-murid tahun 2 dan 3 sahaja yang terlibat. Murid-murid tahun satu berada di kelas masing-masing untuk program Transisi Tahun Satu. Murid-murid Prasekolah juga meneruskan aktiviti mereka di kelas.

Aktiviti murid-murid di Prasekolah 

Murid-murid tahun 2 dan 3 menunjukkan bakat mereka dalam deklamasi sajak, berpantun dan persembahan koir 

Antara peserta acara nyanyian solo, berduet dan berkumpulan secara terbuka 

Guru-guru turut terhibur dengan persembahan anak-anak didik mereka

Aktiviti serlahkan potensimu telah dijalankan sehingga selepas waktu rehat. Setelah selesai aktiviti ini, murid-murid berpeluang pula untuk berkenalan dengan guru-guru di sesi petang.

Hanya beberapa orang sahaja guru-guru sesi petang yang sempat dirakamkan gambar mereka untuk slot sesi perkenalan dengan guru-guru sesi petang. Terdapat seramai 59 orang guru di sesi petang.


Semoga aktiviti hari ini mampu menarik minat murid-murid untuk terus hadir ke sekolah sepanjang sesi persekolahan dan aktiviti yang dirancang mampu melahirkan anak-anak SKTPP yang baik lagi cerdik sekaligus mewujudkan suasana "Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan negara Sejahtera".

Friday, 17 February 2023

Majlis Apresiasi Dan Jamuan Akhir Tahun Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan Daerah Sepang

Pada hari ini, semua Guru Bimbingan dan Kaunseling Daerah Sepang dijemput ke Majlis Apresiasi dan Jamuan Akhir Tahun di Dewan Bora Ombak, Putrajaya. Alhamdulillah, dalam kesibukan masa di sekolah masing-masing, ramai Guru Bimbingan dan Kaunseling Daerah Sepang dapat meluangkan masa untuk hadir ke majlis ini. Keistimewaan kepada hadirin yang hadir selain untuk merapatkan lagi ikatan silaturrahim antara Guru-guru Bimbingan dan Kaunseling Daerah Sepang ialah mendapat doorgift yang istimewa dan terdapat cabutan bertuah khas buat hadirin yang bertuah. Maklumat berkaitan program adalah seperti berikut:-

Tarikh: 17 Februari 2023
Hari : Jumaat
Masa: 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari
Masa pendaftaran bermula 8.30 pagi
Tempat: Cafe Indus, Bora Ombak, Putrajaya
Tema: Denim & Glam

Buku Program, sila klik pautan berikut: https://online.fliphtml5.com/mscft/fbew/

Lensa kamera sepanjang majlis ini berlangsung:


Surat Majlis Apresiasi kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling 

Suasana semasa majlis berlangsung

Juadah makanan yang banyak dan  sangat sedap

Juruacara Majlis Apresiasi dan Jamuan Akhir Tahun MGKK

GBK SKTPP, Pn Rozimah menerima hadiah cabutan bertuah. Tahniah..

GBK SKTPP, Pn Juli  menerima hadiah cabutan bertuah. Tahniah..

Sesi pertukaran hadiah

Sesi pertukaran hadiah 

Bergambar kenangan bersama rakan Guru Bimbingan dan Kaunseling Daerah Sepang








Jumpa lagi di masa yang akan datang. In Shaa Allah.

Terima kasih.